HomeBeritaPolitikPertahan survival UMNO dengan 'teamwork', kesetiaan - Shahaniza Shamsuddin

Pertahan survival UMNO dengan ‘teamwork’, kesetiaan – Shahaniza Shamsuddin

SHAH ALAM: Pepatah Melayu ‘bersatu teguh, bercerai kita roboh’ jelas menunjukkan dalam apa jua yang dilakukan, sikap kebersamaan itu adalah tonggak kejayaan.

Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengingatkan survival UMNO bergantung daripada kerja berpasukan dan sikap setia.

“Agenda utama saya adalah solidariti parti kerana itu asasnya. Parti kita berada dalam keadaan prestasi terburuk kena balik pada asas.

“Semua pihak kena sedar apa hakikat sebenar, apa asas perjuangan kita, survival kita bergantung kepada ‘teamwork‘.

“Jika saya dipilih, saya hendak bantu parti dalam pengkaderan sekolah politik UMNO, merealisasikan sekolah ini sebagai lebih berstruktur, “katanya dalam siri wacana bersama Datuk Razlan Rafii dan Datuk Fathul Bari Mat Jahaya anjuran Sinar, pada Selasa.

Tegasnya, anggota parti perlu hormati institusi organisasi berkenaan dengan memahami perlembagaan dan matlamat UMNO serta tidak menjadikannya sebagai kepentingan peribadi.

Beliau bersama Razlan dan Fathul Baru merupakan antara tiga daripada 95 calon yang bertanding bagi merebut 25 kerusi Majlis Kerja Tertinggi UMNO, pada pemilihan parti peringkat bahagian dan pusat yang akan berlangsung Sabtu ini.

Shahaniza turut menyeru institusi presidennya dipertahankan anggota parti dengan menumpahkan kesetiaan untuk memastikannya kekal kukuh dan tidak berpecah belah.

“Kesetiaan adalah perkara paling pokok, kalau tak setia itu yang jadi kisah masalah dalaman parti. Dalam Islam pun kita kena walak dengan pemimpin

“Tak setia pada negara pun boleh huru hara apatah lagi pada parti, malah sikap setia penting dalam hidup, persahabatan, perjuangan dalam keluarga,” katanya.

Tambahnya lagi, ahli kena rujuk kembali Perlembagaan parti, hormat institusi Presiden, bukan individunya tetapi institusinya yang sudah dipilih oleh majoriti secara demokrasi.

“Macam contoh ramai tak puas hati apabila dua jawatan penting Presiden dan Naib Presiden tidak dipertandingkan tetapi majoriti sudah buat keputusan.

“Jadi selepas musyawaraf, selepas keputusan dibuat secara majoriti, tak boleh luah rasa di luar guna platform ke luar itu sikap tak setia pada parti, ” katanya.

Sementara itu, Razlan menasihatkan kepimpinan dan anggota menghargai pemimpin berkorban demi kepentingan parti seperti yang dapat dilihat ketika peralihan kuasa pada Ogos 2021.

“Kita buat keputusan tarik diri, tarik sokongan, pemimpin letak jawatan dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jawatan kita pegang adalah daripada parti. Ia milik parti, bukan individu.

Di manakah kamu meletakkan diri kamu dalam parti ketika menjadi ahli parlimen. Ingatkan mereka bagaimana mereka setia pada parti ketika parti memerlukan kesetiaan,” tegasnya.

 

 

Author

Pilihan Editor