HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis kesan sindiket Sencapital, ‘cilok’ duit ahli lebih RM6 juta

Polis kesan sindiket Sencapital, ‘cilok’ duit ahli lebih RM6 juta

 

CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 42 laporan dengan nilai kerugian RM6,718,395.70 berhubung skim pelaburan ‘Sencapital’ yang giat dijalankan di seluruh Malaysia.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, berdasarkan siasatan skim terbabit dipercayai aktif sejak penghujung tahun 2022 dengan menawarkan skim pelaburan berasaskan pembelian saham.

“Pelabur yang berminat untuk menyertai skim ini akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘Jp Morgan Business School’.

“Pelabur kemudiannya diminta untuk mendaftar dan membeli saham yang ditawarkan melalui laman sesawang http://sencapital.xyz .

“Bagi tujuan pembayaran, pelabur diminta membuat pindahan wang ke beberapa akaun syarikat yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maklumnya lagi, bermula Februari 2023, laman sesawang Sencapital tidak lagi aktif dan pelabur tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan mereka.

Tegas beliau, mana-mana individu yang menjadi mangsa sindiket diminta tampil membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor