KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dengan rampasan dadah bernilai RM2 juta dalam beberapa siri serbuan bermula Isnin hingga Rabu lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan turut menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada 9 malam hingga 1 pagi di Taman Tun Dr Ismail di sini, Isnin lepas, polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai dadah antaranya ganja seberat 20 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM50,000 serta wang tunai RM500.
“Dalam serbuan pada Rabu bermula 4 petang hingga 9 malam di Taman Keramat dan di sebuah kondominium di Taman Melati pula, polis menahan seorang lelaki serta merampas 6kg syabu dianggar bernilai RM246,000 dan wang tunai RM1,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azmi berkata, empat serbuan pada Selasa dan Rabu lepas di sekitar Segambut, Cheras serta Pandan Perdana pula menahan dua lelaki dan seorang wanita selain merampas pelbagai dadah antaranya serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 7.6kg, ketamin (3.8kg), pil Eramin 5 (10,120 biji) dan satu kilogram syabu dianggar bernilai RM1.7 juta.
Selain itu, beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dan sebuah motosikal Honda BeAT bernilai RM178,000 dan wang tunai RM16,124.
Azmi berkata kesemua dadah yang dirampas dipercayai diperoleh daripada pembekal di sekitar Lembah Klang untuk pasaran ibu negara dan mampu menampung 100,000 pengguna.
Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari dari tarikh tangkapan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain polis giat mengesan saki baki ahli sindiket terbabit yang masih bebas. – BERNAMA