KUALA LUMPUR: Bukan sekadar nama! Pasukan bola sepak kebangsaan mengambil langkah serius dalam usaha pemuliharaan harimau Malaya, apabila menetapkan RM1 daripada penjualan setiap tiket perlawanan akan disumbangkan kepada konservasi haiwan berkenaan.
Kementerian Belia dan Sukan, dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan bersama berkata, kedua-dua belah pihak berganding bahu dalam usaha memerangi kepupusan harimau Malaya dengan menyokong usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui usaha konservasi biodiversiti.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak negara itu pada Selasa lepas, bersetuju untuk memberikan sumbangan RM1 daripada setiap tiket pasukan kebangsaan yang terjual kepada KBS untuk tujuan itu.
“Ini adalah satu misi yang izhar buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan harimau Malaya di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru semua pihak yang meminati bola sepak, turut menunjukkan semangat sama dalam pemeliharaan harimau Malaya dan ia selari dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan.
“Harimau Malaya ialah lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bola sepak kebangsaan. Kita tidak mahu di suatu hari nanti, harimau tinggal maskot atau pun slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita.
“Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya,” katanya.
Hannah berkata, usaha itu dilihat sebagai satu pendekatan inovatif dan terangkum melibatkan sukan popular bola sepak sebagai penyelamat harimau Malaya.
KBS dan FAM berkata, populasi harimau liar di Malaysia telah menurun daripada lebih kurang 1,000 ekor pada tahun 1970-an kepada kurang 150 ekor kini kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.
“Harimau ialah satu indikator yang penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan negara kita bagi kesejahteraan ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup kita semua. Sudah tiba masa usaha pemuliharaan ini mendapat sokongan semua pihak, maka KBS dan FAM telah mengambil langkah untuk membantu dalam konservasi harimau,” menurut kenyataan bersama itu.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan pada malam ini dan Hong Kong pada Selasa depan (28 Mac) dan kedua-dua aksi berkenaan dijadualkan berlangsung pada pukul 10 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. – BERNAMA