CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan cukai wajib dibayar golongan yang dikenakan cukai, mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat individu atau syarikat yang cuba mencari helah untuk mengelak daripada membayarnya.
Berucap merasmikan Sambutan Hari Hasil Ke-27 di sini malam tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan itu bertujuan memastikan golongan yang wajib membayar cukai pendapatan tidak culas atau terlepas daripada tuntutan undang-undang.
“Sengaja saya luahkan hal ini untuk memberikan dorongan usaha bahawa selagi saya diberi amanah memimpin kerajaan, saya mahu rakyat sama ada golongan peniaga kecil atau ‘maha kaya’ tunduk kepada hukum dan tidak terlepas daripada membayar cukai pendapatan.
“Saya beri gesaan ini supaya jangan ada orang fikir sama ada kenalan saya atau tidak, penyokong saya atau tidak, cukai wajib bayar dan LHDN wajib menggeledah dan cari helah-helah (elak bayar cukai),” katanya.
Anwar berkata, sekiranya usaha itu dapat dilaksanakan dengan baik, maka prestasi hasil negara akan terus meningkat malah lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Mengimbau ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an, Anwar berkata, Jabatan Hasil Dalam Negeri ketika itu, sebelum dinaik taraf kepada LHDN berdepan kesukaran untuk mengutip cukai terutama daripada tokoh besar termasuk “VVIP” utama yang enggan membayar cukai.
“Saya kata agak aneh, negara yang merdeka berdaulat mempunyai peraturan dan hukum, boleh golongan ‘maha kaya’ enggan membayar (cukai).
“Jadi saya pun keluarkan kenyataan Jabatan Hasil Dalam Negeri masa itu, bahawa saya adalah di sebelah pegawai-pegawai jabatan untuk mempastikan tanpa kecuaian orang yang wajib membayar cukai mesti laksanakan.
“Saya berpuas hati walaupun saya menghadapi kesukaran kerana telah memberi amaran begitu, prestasi LHDN selepas itu jauh bertambah baik. Orang-orang yang dulunya enggan (bayar cukai) sebahagian besar mengaku kalah dan terus mematuhi peraturan,” katanya.
Anwar dalam pada itu berkata, LHDN perlu memantapkan peranan dan tanggungjawabnya agar prestasi kutipan hasil negara terus meningkat.
Beliau turut mengingatkan warga LHDN agar tidak terjerumus dalam gejala rasuah demi menjaga imej lembaga itu.
Menyentuh Malaysia MADANI yang digagaskannya, Anwar berkata: “MADANI membawa hasil yang baik dan hasil yang baik itu dengan penjanaan pertumbuhan dan pemacuan pertumbuhan yang lebih segar tetapi nilai mesti dipertahankan.”
“Apa erti kerja profesional dalam LHDN kalau tiada nilai yang kita gerakkan (dan) inilah beda MADANI dari deen (agama) dan tamadun, meletakkan kita sebagai bangsa bermaruah,” katanya. – BERNAMA