SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas 147 unit mesin bitcoin dalam serbuan di dua premis di sini yang dipercayai membuat sambungan haram bekalan elektrik dan menjalankan aktiviti perlombongan mata wang digital sejak lebih setahun lepas membabitkan kerugian RM1.2 juta.
Pengarah ST Pulau Pinang, Kedah dan Perlis Muhammad Azmi Ishak berkata, serbuan pada 10 pagi hingga 1 tengah hari itu, dilakukan di dua premis bangunan dua tingkat tanpa penghuni dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sungai Petani.
“Serbuan di premis pertama merampas 58 set mesin bitcoin bersama bekalan kuasa, manakala serbuan di premis kedua merampas 89 set mesin bitcoin bersama bekalan kuasa. Kita mengambil masa hampir dua jam untuk memecah masuk dua bangunan itu.
“Mereka memasang simen pada pintu besi dan beberapa lapis pagar besi yang berkunci sehingga menyukarkan pihak bomba, selain terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh bangunan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kedudukan premis yang terpencil menjadi tumpuan pelombong bitcoin di daerah Kuala Muda untuk melakukan kegiatan haram itu dan Sungai Petani antara kawasan aktif direkodkan berlakunya kecurian elektrik setakat ini.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Sesyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Muhammad Azmi turut menasihatkan pemilik bangunan agar berhati-hati memberi sewa kepada penyewa yang dibimbangi menyalahgunakan permis itu untuk aktiviti haram.
“Jika dapati ada kegiatan mencurigakan, lapor kepada TNB atau ST untuk tindakan dan saya percaya aktiviti tersebut masih berleluasa kerana mereka meraih untung guna elektrik tanpa perlu bayar bil,” katanya. – BERNAMA