CYBERJAYA: Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai ‘vape’ kini dilihat tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutamanya dalam golongan orang muda.
Pada awal pengeluaran, rokok elektronik menjadi inisiatif bagi pengguna tegar perokok dan membantu mereka dalam proses berhenti merokok.
Bagaimanapun, inovasi rokok elektronik ini yang merangkumi pelbagai campuran serta perasa tambahan semakin menjadi tumpuan bagi semua lapisan umur.
Malahan, lebih mengejutkan keadaan apabila cecair vape kini turut mengandungi pati ganja, syabu serta ketamin dijual pada harga serendah RM150 bagi botol bersaiz 10 milimeter (ml).
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Sharifah Sharina Syed Aswad berkongsi sebuah kisah realiti mengenai pengambilan vape yang mengandungi ‘magic mushroom’.
Katanya, kisah berkenaan merupakan pengalaman yang dilalui oleh seorang anak kawannya yang hampir maut gara-gara sedutan vape bercampur dadah.
“Suatu petang selesai remaja lelaki ini (anak kawan) menunaikan solat Asar, kedengaran namanya dipanggil dari luar rumah. Dia segera ke luar dan melihat kawan-kawan sedang menunggu. Ayah dan ibu sedang berehat di ruang tamu di hujung minggu. Anaknya keluar berjumpa kawan di luar.
“Lama kemudian kedengaran suara orang menjerit. Oleh kerana mereka tinggal di rumah flat, hiruk pikuk jiran bergaduh ni sudah menjadi lumrah. Sekali lagi terdengar suara kuat dari tingkat atas. Ayahnya tersentak kerana suara seperti suara anaknya yang baru keluar tadi.
“Terus si bapa berlari ke luar rumah dan menaiki tangga mengikut arah suara. “Abang tak nak mati!”, si anak remaja menjerit kuat dari tingkat atas. Ayah melajukan langkah dan terkejut apabila mendapati anak kesayangan sudah separuh badan di luar bangunan. Hanya kaki sahaja yang masih di dalam dipaut kuat oleh seorang rakan,” kongsi Sharifah.
Tambahnya lagi, selepas keadaan tenang si ayah bertanya kepada anak mengenai punca yang menyebabkan dia mahu terjun bangunan.
Katanya, anak kepada kawannya itu merupakan seorang anak yang baik, tidak ponteng sekolah dan tidak sesekali mengambil rokok ataupun vape.
Namun, semuanya berlaku apabila kawan si anak cuba mengajar si anak itu merasai ‘nikmat’ menghisap vape.
“Salah seorang beri abang cuba. Katanya perisa baru. Abang pun cuba lah. Tau tau sahaja abang rasa fikiran jadi lain. Tak boleh nak berfikir. Ada suara menyuruh abang terjun. Tapi abang tak nak.
“Pasti ini vape bercampur dadah. Magic mushroom dan banyak lagi namanya. Kaedah pantas merosakkan otak dengan berkesan. Anak anda mungkin sedang melakukannya sambil bersantai di rumah menghisap vape tanpa pengetahuan anda yang vape itu mengandungi cecair dadah,” ceritanya.
Sharifah turut mengingatkan bahawa pengambila vape masa kini dalam kalangan anak muda amat perlu dititikberatkan kerana dadah jenis magic mushroom yang terdapat dalam vape itu tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing dan tidak menunjukkan tanda positif.
Malahan, perkara tersebut dibuktikan oleh seorang pemuda pengguna mushroom yang masuk ke Darul Islah yang tidak menunjukkan keputusan urine test positif.
“Moga Allah SWT melindungi keluarga anda daripada hal hal ini,” ujarnya.
Oleh: Ain Japri (Pelatih USM)