CYBERJAYA: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja serta pelajar asing ke negara ini dilihat menjadi lubuk pendapatan yang besar buat segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti dengan mengaut rasuah dalam pekerjaan mereka.
Malah, selaku barisan hadapan keselamatan negara, tahap rasuah anggota penguat kuasa dilihat semakin kronik dan membimbangkan.
Timbalan ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, hakikat yang berlaku ini mendatangkan imej yang buruk kepada Malaysia.
“Justeru itu, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.
“Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya. Komen yang biasa kita dengar ‘ia adalah kejadian terpencil’ sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini,” katanya seperi dilapor Berita Harian.
Menurutnya lagi, lebih memburukkan keadaan apabila penguat kuasa turut dikesan terbabit dalam penyeludupan barang-barang larangan termasuk dadah, senjata api, barangan kawalan seperti petrol, tepung, gula dan minyak masak.
“Rasuah jalanan bagi mengelakkan sebarang bentuk tindakan walaupun mempunyai dokumen yang lengkap; rasuah bagi mendapatkan darjah kebesaran dan status sosial dalam masyarakat; merompak kekayaan hasil laut dengan menceroboh lautan negara dan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), tukang urut, pelacuran di pusat hiburan dan spa.
“Ini adalah sebahagian dari kesalahan-kesalahan yang berlaku membabitkan pendatang asing di negara ini. Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket,” jelasnya.
Oleh: Ain Japri (Pelatih USM)