CYBERJAYA: Bukanlah suatu hal yang mudah untuk dijalani apabila diuji bertalu-talu ibarat air hujan yang membasahi bumi.
Namun, itulah yang dilalui seorang wanita warga emas apabila kehidupannya seolah-olah hilang arah saat ditinggalkan suami tidak bertali.
Menerusi perkongsian Lembaga Zakat Selangor (LZS), wanita terbabit hampir putus asa dengan kehidupannya dek kerana tertekan dengan kos sara hidup kini yang tidak mampu dibiayainya.
Tambah pula, wanita berkenaan juga perlu menyara cucunya yang ditinggalkan oleh anaknya,.
“Dengan rasa tanggungjawab, pemohon tersebut terpaksa menggunakan ke empat-empat kudratnya bagi membanting tulang mencari rezeki dengan membuat kuih-muih untuk meneruskan hidup.
“Dek kerana ketidakmampuan pemohon, pemohon sukar untuk mencari pendapatan lebih bagi menampung kos keperluan hidup yang saban hari semakin meningkat selepas covid19 melanda.
“Akibat dari serba kekurangan, pemohon sering tidak cukup untuk menampung perbelanjaan dapur rumah. Kemudian, rumah yang pemohon sewa kerap kali lambat bayar kerana pendapatan tidak cukup,” kongsi LZS.
Bagi meringankan beban, LZS daerah Petaling menyantuni wanita berkenaan bagi memberi bantuan yang bersesuaian.
Malah, hasil bancian mendapati warga emas tersebut layak mendapat bantuan bagi kategori asnaf.
“Alhamdulillah, asbab daripada zakat yang ditunaikan oleh pengeluar zakat di Selangor, kita dapat membantu beliau untuk menyara kehidupan bersama cucunya,” kata wakil LZS.