KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, berjaya melepasi halangan pertama apabila melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton All England 2023, hari ini.
Pemain berusia 24 tahun itu, tidak berdepan masalah besar untuk menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021, Sitthikom Thammasin dari Thailand 21-12, 21-15 dalam perhitungan yang berlangsung selama 33 minit di Birmingham.
Zii Jia yang kini menghuni tangga keempat dunia, dijangka akan bertemu sama ada Kenta Nishimoto dari Jepun atau pemain Kanada Brian Yang dalam pusingan kedua esok.
Beliau merupakan juara All England 2021.
Sejak menjuarai Terbuka Thailand Mei tahun lepas, Zii Jia masih belum merangkul sebarang gelaran setakat ini.
Zii Jia memulakan musim 2023 tanpa layak ke suku akhir pada kesemua empat kejohanan yang disertainya apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dikuti pusingan kedua Terbuka India, Masters Indonesia dan terbaharu, Terbuka Jerman minggu lepas.
Sementara itu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama oleh pasangan bukan pilihan dari Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 18-21, 21-14, 13-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 60 minit. – BERNAMA