BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapanya maut dalam kemalangan di Kilometer 41.02, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, di sini kelmarin.
Pasangan terbabit, Saiful Azmi Mohd. Razali, 35, dan Sailulhayati Mat Isa, 36, meninggal dunia akibat cedera parah pada anggota badan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.15 malam.
Dalam kejadian sama turut membabitkan anak tunggal mereka, Amar Rizqi, 2, melecur pada tangan sebelah kiri dan cedera di bahagian kepala.
Dilaporkan, pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kulim, selepas mengambil stok tebu di Kampung Pisang, di sini untuk berniaga sempena Ramadan.
Kemalangan tercetus selepas van jenis Nissan dipandu Saiful Azmi yang bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah estet di Kulim terlibat kemalangan dengan pikap jenis Isuzu.
Sepupu Allahyarham Sailulhayati, Noraida Che Hasan, 42, berkata, tiga beranak itu akan pulang ke kampung dua hari sekali untuk mengambil bekalan tebu di kebun, di sini untuk berniaga di Sungai Karangan, Kulim.
“Sepupu berniaga pada Ramadan ini sahaja selepas suaminya habis bekerja di ladang dan mereka terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kulim.
“Saya masih terkejut dengan berita malang ini kerana saya dan arwah sepupu sempat keluar ke sebuah pasar raya di sini bersama anak tunggalnya semalam (kelmarin),” katanya seperti dilapor Kosmo.
Katanya, mereka hanya melihat baju dan kelengkapan raya yang dijual di situ yang mana arwah merancang untuk datang semula untuk membeli pakaian raya buat anak lelakinya.
“Arwah beritahu dia tidak mahu beli baju baharu, sebaliknya nak pakai baju lama kerana masih muat dengan badannya. Dia cuma beritahu nak cari baju raya untuk anak kesayangannya.
“Dia juga ada beritahu teringin nak berbuka puasa dengan roti john dan arwah sempat membelinya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati van dinaiki tiga mangsa itu dari arah Baling menghala ke Kulim dipercayai hilang kawalan.
“Van itu terlanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan sebelum berpusing. Pada masa sama sebuah pikap dipandu seorang guru yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum terlanggar bahagian depan kiri van.
“Pemandu van maut di tempat kejadian, manakala penumpang hadapan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kulim.
“Anak mangsa yang berada kerusi belakang van dirawat di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” maklumnya.