KUALA NERUS: Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad cukup berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun menang tipis 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super malam tadi.
Fandi berkata untuk pertama kali musim ini, pemainnya mempamerkan corak permainan yang konsisten dari awal hingga wisel penamat dibunyikan.
Justeru, beliau berkata pemainnya berhak diberi pujian terutama barisan pertahanan yang melaksanakan tugas paling cemerlang di hadapan lebih 10,000 penyokong skuad Penyu.
“Saya rasa perlawanan malam ini (malam tadi) adalah persembahan terbaik kita (Sri Pahang FC) setakat ini. Biasa kita main tak konsisten, sama ada beraksi baik di separuh masa pertama atau di masa kedua.
“Tetapi hari ini kita penuh dengan disiplin, semangat juang dan berpasukan yang sangat tinggi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Sri Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan, sekali gus naik daripada tangga kelima ke kedudukan ketiga carta Liga Super musim ini dengan 22 mata.
Sementara itu pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner tidak menyalahkan pemainnya 100 peratus atas kekalahan malam tadi.
Bagaimanapun, beliau agak terkilan kerana anak buahnya gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang ke bentuk jaringan yang menyebabkan mereka tercicir tiga mata.
”Saya tidak boleh salahkan pemain kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menang. Kami juga mencipta banyak peluang namun tidak menghasilkan lebih banyak gol untuk menang,” katanya. – BERNAMA