KUALA LUMPUR: Seorang penstriman permainan video kerugian lebih RM95,000 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai polis, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP, Beh Eng Lain berkata, wanita berusia 30 tahun itu membuat lima transaksi pindahan wang ke akaun berasingan berjumlah RM95,700 selepas menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa dirinya ‘Inspektor Maria’ dari Bukit Aman.
“Pada 2 petang semalam, wanita berkenaan menerima panggilan didakwa dari Ibu Pejabat Pos Malaysia Berhad yang memberitahu kononnya dia ada membuat penghantaran dua keping kad ATM (mesin juruwang automatik), sebuah buku cek dan sebuah token bank kepada individu tertentu.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu lain mendakwa dirinya sebagai Inspektor Maria dari Bukit Aman yang memberitahu mangsa terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram dan mengarahkan mangsa membuat transaksi pindahan wang ke akaun ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beh berkata, wanita itu kemudian menyedari dia ditipu setelah menceritakan peristiwa tersebut kepada rakannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – BERNAMA