KUALA LUMPUR: Gerai menjual mercun dan bunga api yang terbakar di Jalan Raja Bot, Chow Kit di sini, semalam, didapati tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, satu kertas siasatan telah dibuka terhadap insiden yang tular di media sosial itu dan individu terbabit telah dikenal pasti.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata insiden yang berlaku pukul 10.50 malam semalam itu disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan yang dikuatkuasakan. – BERNAMA