PUTRAJAYA: Harga simen pada kadar berpatutan akan ditawarkan kepada pemaju rumah mampu milik yang membangunkan kategori rumah berharga RM300,000 ke bawah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan itu untuk manfaat pemaju rumah mampu milik.
Mengambil kira pengurangan harga simen itu berbanding harga pasaran, Anwar berkata, ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang telah diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan.
“Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi merealisasi hasrat Kerajaan Perpaduan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat memandangkan kos bahan mentah yang semakin meningkat. – BERNAMA