HomeBeritaHilang toleransi, cepat menghukum punca umat Islam berpecah - Syeikh Muhammad Umar...

Hilang toleransi, cepat menghukum punca umat Islam berpecah – Syeikh Muhammad Umar Ramadhan

KUALA LUMPUR: Aktivis Islam terkenal di United Kingdom (UK), Syeikh Muhammad Umar Ramadhan, menegaskan dua perkara yang menjadi amalan negatif dalam kalangan umat Islam pada hari ini, perlu dihentikan.

Muhammad Umar yang terkenal dengan pembawaan mesej utama beliau iaitu toleransi dan kebersamaan berkata, amalan takfir dan membunuh seseorang atau orang Islam perlu dihapuskan.

Beliau berkata, naratif berkenaan mendorong berlaku ancaman keganasan sehingga membawa kucar-kacir dan menganggu gugat ketenteraman awam.

“Ada dua perkara asas perlu dibuang, dihentikan, secara total di seluruh dunia, kerana jika tidak ia akan membawa kecenderungan kepada keganasan global.

“Perkara satu ialah takfir. Kita sebagai orang Islam hapuskan amalan takfir iaitu menuduh orang lain kuffar atau keluar Islam (kafir).

“Tidak ada yang berhak untuk memanggil seseorang dengan cara begitu,” katanya dalam sesi dialog bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soalan MEDIA VARIASI berhubung dakwaan perpecahan dalam umat slam sejak berkurun lama di negara ini, sehingga tidak boleh bersuara untuk membincangkan isu perbezaan pendapat seperti Wahabi, Syiah, atau Sunni secara terbuka, dengan mengambil contoh surah An-Nisa, ayat 82.

Katanya, sebagai orang Islam terutama ulama dan cendekiawan Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran ini kepada mereka yang cuba melakukan keganasan.

“Malah, kita tidak sepatutnya menyebarkan kebencian kepada rakan Muslim, meskipun setiap kita semua mempunyai perbezaan tetapi perlu mencari titik persamaan dengan cara lebih berintegriti,” katanya.

Kedua, katanya amalan membunuh orang Islam yang dituduh takfir.

“Situasi tidak menentu di Iraq, di Pakistan sebagai contoh, dipercayai kerana doktrin luar yang meyakinkan orang Muslim, Sunni, Syiah untuk berbunuhan.

“Mereka (Muslim) ada pandangan mereka untuk berbunuhan. Ini sangat berbahaya dan ekstremis,” katanya.

Bukan mudah untuk umat Islam berdepan dengan cabaran di dunia serba moden kini namun beliau menasihatkan supaya sentiasa menunjukkan akhlak Islam yang sebenar, dan tidak perlu mempamerkan siapa lebih berkuasa.

“Lebih baik duduk bersama, berbincang secara ilmiah, tidak perlu untuk tidak bersetuju untuk bersetuju. Dengar pandangan, hujah, pemikiran kritis dan terbuka,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Umar adalah Pengerusi Yayasan Ramadhan.

Beliau adalah anak kepada ilmuwan ulung Allahyarham Syeikh Muhammad Ramadhan, menerima ijazah dan pengiktirafan dari ilmuwan terkemuka dunia.

Beliau juga individu termuda yang diwawancara dalam rancangan temu bual terkemuka dunia, BBC HardTalk ketika berusia 24 tahun bagi membincangkan serangan pengganas di London pada 7 Julai untuk mendapatkan pandangan daripada komuniti Muslim di UK.

Author

Pilihan Editor