HomeBeritaHotel kucing ‘full house’ sempena cuti Aidilfitri

Hotel kucing ‘full house’ sempena cuti Aidilfitri

CYBERJAYA: Siapa sangka, khidmat hotel kucing mendapat sambutan tinggi lebih-lebih ketika cuti perayaan Aidilfitri.

Salah sebuah hotel kucing yang meraih perhatian adalah di Tommy Cat Hotel dan Spa di Kuantan, Pahang.

Menurut pemilik hotel tersebut, Saiful Islam Abdul Hamid, 35, permintaan perkhidmatan kali ini amat tinggi sehingga ada pihak yang ‘merayu’ untuk meletakkan kucing peliharaan mereka di hotelnya meskipun tiada sangkar.

Bagaimanapun, pihak Tommy Cat Hotel dan Spa tidak boleh menerimanya kerana keutamaan kesihatan dan kesejahteraan setiap kucing yang dibawah jagaan mereka perlu dititikberatkan.

“Bagi pemilik kucing yang biasa mendapatkan perkhidmatan ini mereka lebih peka dengan membuat tempahan lebih awal.

“Bila kucing-kucing ada tempat untuk ditinggalkan, mereka juga dapat bercuti dan berhari raya dengan lebih tenang.

“Berbeza bagi yang terpaksa membawa bersama kucing atau meninggalkan haiwan peliharaan itu di rumah tanpa penjagaan sepanjang ditinggalkan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tambah Saiful, permintaan terhadap hotel kucing amat tinggi bukan sahaja pada musim perayaan tetapi situasi sama turut berlaku pada musim cuti sekolah dan cuti umum yang panjang.

“Sama seperti hotel penginapan, hotel kucing juga antara kemudahan yang dicari-cari bagi pemilik haiwan itu yang berhasrat untuk bercuti atau terpaksa meninggalkan rumah kerana tugasan luar daerah dan sebagainya.

“Melihat kepada potensi hotel kucing ini, saya dan isteri, Aliah Nadhirah Azahar, 29, mengambil keputusan menjalankan perniagaan ini sejak Februari lalu selain turut menyediakan khidmat dandanan kucing dan menjual barang keperluan haiwan tersebut,” kongsinya.

Dia yang juga seorang pencinta kucing bermula dengan menyediakan 30 sangkar standard dan dua sangkar VIP dengar kadar bayaran RM18 hingga RM35 semalam.

“Menguruskan hotel kucing bukan perkara mudah kerana haiwan itu agak sensitif dan mudah stres jika tidak dijaga dengan baik.

“Di sini, kami amat menitikberatkan kebajikan haiwan ini dengan menjaga makan minum, mengurus berak kencing dan mengatur jadual masa main kucing.

“Ruangannya juga perlu selesa dan bersih sepanjang masa selain pengudaraan dan pencahayaan yang baik,” jelasnya.

Menurutnya, setiap sangkar hanya dicadangkan untuk seekor kucing untuk keselesaan haiwan itu walaupun ruangannya agak luas dan mampu menempatkan dua atau tiga ekor kucing.

“Ruangannya berhawa dingin dan dilengkapi kipas, penapis udara dan kamera litar tertutup bagi tujuan pengawasan.

“Selain itu makanan yang disediakan untuk kucing daripada produk berkualiti dan selamat selain menggunakan pasir jenis tofu yang lebih berkesan menyerap bau najis kucing.

“Istimewanya di sini, tuala yang digunakan tidak berkongsi sebaliknya setiap kucing akan disediakan satu tuala,” katanya.

Saiful Islam berkata, setiap kucing yang ditempatkan di situ perlu sihat dan lengkap vaksin.

Menurutnya, walaupun permintaan terhadap kemudahan itu bermusim, hotel kucing menjadi satu keperluan bagi pemilik kucing ketika ini.

Justeru, dia dan isteri bercadang untuk mengembangkan perniagaan itu pada masa akan datang dengan menyediakan lebih banyak sangkar bagi menampung permintaan.

Author

Pilihan Editor