HomeNiagaJakel sasar jualan RM1.3 bilion dari Jualan Rahmah

Jakel sasar jualan RM1.3 bilion dari Jualan Rahmah

SHAH ALAM: Kumpulan Jakel menyasarkan jualannya meningkat sekitar 30 peratus kepada RM1.3 bilion tahun ini berbanding RM1 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Ia susulan pemulihan sektor ekonomi pasca COVID-19 termasuk promosi baharu syarikatnya iaitu Jualan Rahmah Baju Raya Jakel.

Pengarah Urusan, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, syarikat itu menawarkan lebih tiga juta pasang baju terdiri daripada baju melayu serta pakaian wanita dan kanak-kanak sempena Aidilfitri tahun ini dengan 40 peratus daripadanya telah terjual setakat semalam.

Jakel yakin mampu menjual sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah pakaian berkenaan.

“Pada 2017, 2018 dan 2019, kita mencatat jualan kain sebanyak RM1.4 bilion setiap tahun. Bila COVID-19 melanda, (jualan) jatuh separuh kepada sekitar RM700 juta setahun,” katanya dalam sidang media pelancaran gedung tekstil baharu Jakel cawangan Shah Alam di sini.

Mengulas berhubung gedung sementara baharu itu yang terletak bersebelahan Hospital Shah Alam, Mohamed Faroz berkata, gedung berkeluasan 80,000 kaki milik Jakel Realty Sdn Bhd itu mampu menampung seramai 10,000 pengunjung dalam satu-satu masa.

Gedung yang terletak 200 meter dari premis lama di Pusat Komersial Seksyen 7 yang terbakar awal Januari itu telah mendapat kelulusan beroperasi dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), bomba serta pihak berkaitan.

“Gedung sementara yang dibina dengan struktur kukuh iaitu besi serta dinding batu dan bukan khemah sementara itu turut dibenarkan beroperasi selama dua tahun oleh MBSA dan mula dibuka kepada umum pada 25 Mac lalu,” katanya.

Mengenai premis lamanya yang terbakar, Mohamed Faroz berkata premis itu masih dalam proses ujian kekuatan bangunan untuk melihat sama ada bangunan masih kukuh bagi dibaik pulih atau dirobohkan.

“Kita akan mendapatkan maklumat pada Mei nanti, jika kita perlu roboh, kita akan robohkan dan bina semula tetapi kalau perlu dibaiki kita akan baiki. Bomba memaklumkan kepada kita kebakaran bangunan itu berpunca dari lintar pintas.

“Sama ada dilakukan kerja baik pulih besar-besaran atau dibina semula, bangunan lama (yang terbakar) itu dijangka siap dan sedia untuk beroperasi semula pada 2025,” katanya.

Mohamed Faroz berkata, pihaknya juga merancang pembinaan Jakel Mall di kawasan premis sementara tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.

Author

Pilihan Editor