PUTRAJAYA: Kadar diskaun khas harga barangan mentah akan diberikan kepada pengusaha menu Rahmah bagi memastikan kelestarian inisiatif itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
“Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan menu Rahmah yang telah memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan amat menghargai sumbangan pengusaha menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Pada masa yang sama, kerajaan turut cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah,” kata beliau.
Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melancarkan inisiatif menu Rahmah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan miskin.
Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelaksanaan insentif khas kepada pengusaha menu Rahmah melalui pemberian diskaun khas di pasar raya terpilih akan bermula pertengahan bulan depan.
“Kementerian yakin melalui insentif khas ini, pengusaha-pengusaha menu RAHMAH dapat terus menyediakan menu RAHMAH kepada pengguna secara berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang.
“Insentif ini juga dijangka akan menggalakkan lagi lebih ramai pengusaha restoran menyertai inisiatif menu RAHMAH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga 15 April (2023), sebanyak 1,706 pengusaha menu RAHMAH telah mendaftar di portal Menu RAHMAH dengan penyediaan menu makanan yang seimbang dan berkhasiat pada harga di bawah RM5.
Salahuddin berkata, kementerian menyeru lebih ramai pengusaha untuk menyertai inisiatif menu Rahmah dengan mendaftar di portal, http://menurahmah.kpdn.gov.my, untuk mendapatkan inisiatif istimewa itu.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan insentif diskaun khas pengusaha menu Rahmah kepada pembekal-pembekal bahan mentah melalui sesi libat urus yang akan diadakan dalam masa terdekat. – BERNAMA