KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan berhubung kenaikan melampau harga daging import di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini barangan di bawah kawalan KPDN seperti telur, ayam bulat dan daging import tidak berlaku sebarang kenaikan harga.
“Pergilah ke mana-mana kedai, harga daging lembu dan kerbau import masih terkawal iaitu RM18 hingga RM21 sekilogram (kg) mengikut gred daging berkenaan.
“Tentang daging lembu tempatan, harga itu sememangnya tidak kita kawal. Bermakna ada orang tempatan khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu mereka tidak membeli daging kotak sebaliknya memilih daging lembu tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bakul Rahmah dan flag off lori 99 SpeedMart di sini hari ini.
Beliau memaklumkan daging lembu tempatan menunjukkan kestabilan harga iaitu RM37.96 per kg bermula Nov lepas hingga sekarang.
Bagaimanapun, Salahuddin meminta orang ramai agar membuat aduan serta merta sekiranya berlaku kenaikan harga bagi daging import di mana-mana premis.
Menurutnya, KPDN juga akan mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri pada Rabu ini.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya menyasarkan pengedaran 130,000 Bakul Rahmah ke seluruh negara hingga Julai ini.
“Setakat ini, kita telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 80,000 Bakul Rahmah dan sejumlah 40,000 telah diedarkan pada fasa satu, manakala bakinya akan diberikan sebelum Aidilfitri bagi memastikan golongan miskin tegar dapat disantuni.
“Pada fasa dua pula, kita akan capai sasaran lebih kurang 130,000 isi rumah hingga Julai yang bermakna seratus peratus isi rumah (miskin tegar) kita bantu,” katanya. – BERNAMA