PUTRAJAYA: Lebih banyak pertemuan antara Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan diadakan selepas ini bagi membincangkan isu berkaitan doktor kontrak, kata jurucakap HDK, Dr Muhammad Yassin.
Bercakap kepada pemberita di luar bangunan KKM di sini hari ini, beliau berkata, ia antara perkara dijanjikan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika sesi pertemuan dan penyerahan memorandum berkaitan tuntutan gerakan tersebut yang berlangsung kira-kira 40 minit hari ini.
“Dr Zaliha janji akan adakan penglibatan berterusan dengan HDK supaya kita boleh jadi orang tengah antara doktor kontrak dan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang ditubuhkan baru-baru ini,” katanya.
Intipati memorandum tersebut antaranya menyebut HDK mahu KKM memasukkan wakilnya sebagai anggota HLC, sebagai middle point antara doktor kontrak kerajaan agar dapat mencari solusi yang akan menggembirakan semua pihak.
“Bagaimanapun, Dr Zaliha berkata penglibatan HDK dalam HLC adalah sedikit susah memandangkan ia ditubuhkan di peringkat Kabinet,” katanya.
Dr Zaliha sebelum ini berkata, Jemaah Menteri pada 31 Mac telah bersetuju menubuhkan HLC bagi menangani isu doktor kontrak dan jawatankuasa itu menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk pembabitan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pengerusi HLC dilaporkan berkata kerajaan akan memastikan situasi menang-menang dicapai supaya tiada pihak yang berasa rugi atau tersingkir dalam penyelesaian isu perjawatan doktor kontrak.
HDK turut memohon kerajaan menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan sebagai langkah memperkasa kebajikan dan jaminan untuk staf kesihatan kontrak secara amnya. – BERNAMA