GEORGE TOWN: Penolong ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid berharap anak buahnya meneruskan momentum kemenangan selepas mencipta kemenangan ketiga musim ini apabila menewaskan Kelantan United FC 2-0 pada aksi Liga Super 2023 malam tadi.
Beliau berkata, pada perlawanan di Stadium Bandaraya itu, skuad Harimau Kumbang telah mencuba sedaya upaya untuk meraih kemenangan.
“Kami bersyukur dengan permainan malam ini. Saya tidak minta lebih daripada pemain, cuma harap mereka boleh buat yang terbaik setiap kali perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Katanya, skuad Harimau Kumbang akan cuba memberi saingan terbaik pada perlawanan akan datang.
Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kelantan United FC Nazrulerwan Makmor berkata, Morgaro Lima Gomis yang dikeluarkan pada awal permainan telah menjejaskan aksi skuad Kijang Hijau.
“Kita tiada pengganti Morgaro Lima Gomis. Kita mempunyai satu pemain sahaja di bahagian tengah dan itu telah mencacatkan permainan selepas Morgaro Lima Gomis keluar,” katanya.
Menurut Nazrulerwan, kekurangan rehat dan kepenatan pemain selepas mengharungi perlawanan berturut-turut antara penyumbang kepada Kelantan United FC tidak mendapat mata dalam perlawanan malam tadi.
Harimau Kumbang yang berada di tangga kelapan liga dijadual menentang Kuching City yang berada di tangga ke-12 liga pada 27 April ini di Stadium Bandaraya.
Kijang Hijau yang menghuni tangga ke-14 akan berhadapan dengan Kuala Lumpur City FC yang berada di tangga ketujuh liga pada 20 Mei ini di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. – BERNAMA