KUALA LUMPUR: Hampir 100 anak yatim dari sekitar Lembah Klang diraikan dalam Majlis Iftar anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Hotel Berjaya Times Square, disini, hari ini.
Turut diraikan bersama 40 ibu tunggal dan 11 orang penerima faedah PERKESO.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud turut hadir bagi memberi sumbangan kepada penerima seperti hamper, duit raya, baju raya dan juga bayaran faedah PERKESO.
“Selain daripada mengeratkan hubungan dengan masyarakat terutamanya dari golongan mudah terjejas, program iftar yang dianjurkan PERKESO ini juga dapat meringankan bebanan mereka bagi persiapan Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi,” kata Mustapha ketika memberi ucaptama.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya amat prihatin dengan kesukaran yang dialami sebilangan rakyat pada masa kini.
“PERKESO prihatin dengan kesukaran masyarakat mendepani tuntutan kehidupan, terutamanya mereka yang ditimpa kemalangan atau penyakit, kehilangan mata pencarian atau perginya pencari nafkah keluarga.
“PERKESO sentiasa cuba sedaya upaya membantu mereka sama ada menerusi faedah-faedah PERKESO di bawah pelbagai skim yang sedia ada,” ujarnya.
Majlis iftar PERKESO merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan setiap tahun bagi mengeratkan jalinan kemesraan PERKESO dengan para penerima faedah.