PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa Persatuan Penduduk dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) boleh mengenakan syarat kepada ahli yang tidak membayar yuran penyelenggaraan bahawa mereka perlu mengangkat sendiri palang di laluan masuk tanpa bantuan pengawal keselamatan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk See Mee Chun dan Datuk Che Mohd Ruzima membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Chow Hau Mun, yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Parkville untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi.
Has Zanah berkata, syarat yang dikenakan oleh Persatuan Penduduk Parkville kepada ahli yang tidakm membayar yuran itu untuk mengangkat sendiri palang di laluan masuk adalah munasabah.
Beliau berkata, syarat itu juga selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015 dalam kes Au Kean Hoe menentang Persatuan Penduduk D’Villa Equestrian iaitu pembinaan pondok pengawal keselamatan dan palang tidak terjumlah kepada satu ‘halangan’ di bawah Seksyen 46(1) (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Mahkamah Rayuan turut memerintahkan MBPJ membayar RM8,000 sebagai kos kepada Persatuan Penduduk Parkville.
Peguam A. Surendra Ananth, yang mewakili Chow, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa keputusan itu disampaikan pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian.
Peguam Datuk Malik Intiaz Sarwar turut mewakili Chow manakala peguam Yatiswara Ramachandran hadir bagi pihak MBPJ.
Chow telah memfailkan semakan kehakiman bagi pihak Persatuan Penduduk Parkville dan memohon antara lain deklarasi bahawa persatuan itu berhak untuk mengenakan syarat bahawa ahli atau penduduk yang tidak membayar yuran di kawasan perumahan itu perlu mengangkat sendiri palang di laluan masuk tanpa bantuan pengawal keselamatan.
Ini selepas MBPJ pada 30 Mac 2021 telah menolak permohonan persatuan penduduk itu untuk mengenakan syarat tersebut.
Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak semakan kehakiman itu dan memutuskan bahawa keputusan MBPJ untuk tidak membenarkan Persatuan Penduduk Parkville mengenakan syarat tersebut adalah tidak menyalahi undang-undang, tidak rasional atau tidak munasabah. – BERNAMA