KUALA LUMPUR: Petronas tetap akan meneruskan projek cari gali di kawasan Laut China Selatan walaupun ketika ini terdapat pertindihan tuntutan dengan China, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia menganggap bahawa projek cari gali yang dilakukan ketika ini berada di dalam kawasan atau wilayah negara.
“Bagaimanapun kalau negara China anggap ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan, tapi sementara itu, untuk usaha cari gali, kita akan teruskan. Saya tidak mahu elak daripada meneruskan rundingan, kerana ini pendiran ASEAN.
“ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan, tapi setakat ini Malaysia bertegas bahawa ini (projek cari gali) adalah di kawasan atau wilayah Malaysia,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu sama ada Perdana Menteri ada membincangkan isu berhubung keselamatan serantau dalam lawatan rasminya ke China baru-baru ini, terutamanya dengan kehadiran tentera laut China di Laut China Selatan.