HomeBeritaPPIM, NGO, Emilia sumbang Rezeki Ramadan ke Penjara Kajang

PPIM, NGO, Emilia sumbang Rezeki Ramadan ke Penjara Kajang

KAJANG: Agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlumba-lumba mengambil kesempatan untuk beramal ketika Ramadan dengan memberi bantuan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim.

Namun ada golongan yang juga memerlukan sumbangan namun tiada suara hendak diterjemahkan permintaan mereka iaitu warga tirai besi sering tersisih.

Mereka kehilangan segala-galanya di dunianya sebaik kaki melangkah ke tirai besi, yang ada hanya pergantungan kepada Tuhan semata-mata mengenai harapan dan masa depan.

Justeru, pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kolaborasi pelbagai NGO menyampaikan Sumbangan Pengagihan Pek Makanan Rezeki Ramadan Ke Penjara kepada kira-kira 2,000 penghuni termasuk staf Penjara Wanita Kajang sempena Keberkatan Ramadan, pada Jumaat, di sini.

NGO terlibat adalah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hasani Group, Sahabat Serantau Malaysia, Restoran Anis Putri Pantai (M) Sdn Bhd, dan Kedai Ayam Gepuk Pak Gembus.

Menariknya, pempengaruh, Emilia Hanafi turut hadir memberi bantuan perseorangan pada program itu.

Emilia adalah bekas penghuni penjara sama yang pernah menjalani hukuman selama seminggu kerana menukar ganti tarikh lawatan ketiga-tiga anaknya, pada Jun 2022.

Penganjur program yang juga wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi berkata, idea penganjuran program ini adalah dari wartawan Yati (Media Variasi) yang mengemukakan kepada PPIM.

“Selepas berbincang dengan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan beliau terus bersetuju dan minta saya uruskan pengumpulan dan penghantaran.

“Ada yang tidak mahu disebut nama, dan saya berharap selepas ini ada lagi pihak luar yang terus datang menyumbang kepada penghuni penjara.

“Saya percaya dengan cara ini, kita dapat menggembirakan mereka (warga penjara termasuk banduan), setiap orang wajar diberi peluang yang sama walaupun dalam keadaan berbeza.

“Harapan kami menerusi sumbangan ini dapat beri sinar di hujung terowong kehidupan, gembirakan orang lain, Tuhan gembirakan kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Gulab Jan turut mewakili pihak Hasani Group menyampaikan sumbangan selain Ketua Muslimah GISB Selangor, Saidah Nafisah Ashaari; dan Ketua Pemasaran Ayam Gepuk Malaysia, Mohd Effandy Saadon.

Kesemua sumbangan itu disampaikan kepada Penolong Kanan Komisioner Penjara Kajang, Zalina Mohd Yunos dibantu Penolong Penguasa Naterah Abdullah.

Sementara itu, Mohd Effandy berkata, pihaknya menyampaikan kira-kira 300 kilogram beras, dan menyifatkan kerjasama dengan pihak penjara adalah perkara yang tidak pernah terdetik di hati bahawa boleh melakukan sumbangan kepada penghuni di sana.

“Tahun sebelum ini kita sampaikan kepada asnaf, fakir miskin dan anak yatim. Tahun ini terdetik untuk kerjasama dengan PPIM yang berikan idea untuk sumbangkan beras kepada penjara wanita kajang.

“Kami rasa idea itu bagus kerana ini adalah salah satu tempat yang tak pernah terdetik dekat hati yang mungkin orang ini yang memerlukan.

“Tapi ramai orang fokus ke tempat yang ramai orang pergi, jadi kami cuba pergi yang kurang tempat sumbangan,” katanya.

Bagi Saidah Nafisah, sumbangan berkenaan diharapkan sumbangan berkenaan dapat memberi kegembiraan kepada penghuni penjara malah membuka peluang kepada mereka yang mahu bekerja dengannya jika berminat.

Author

Pilihan Editor