IPOH: Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan menceroboh rumah seorang wanita, minggu lepas.
Tertuduh Hassan Ahmad, 43, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya, dan Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian menetapkan 22 Mei depan untuk keputusan, sementara menunggu fakta bagi kes berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu yang juga seorang duda dan bapa kepada seorang anak didakwa melakukan rogol terhadap mangsa yang berusia 38 tahun, dan pada masa itu meletakkan dalam ketakutan kematian terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tingkat dua, kuarters kakitangan awam, Jalan Kamarudin Isa, Fair Park di sini, antara pukul 10 malam, 17 April hingga 18 April lepas.
Dia berdepan dengan hukuman penjara minimum 10 tahun atau tidak lebih 30 tahun dan sebatan di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan, dan pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai alamat tetap selain mengetahui lokasi kediaman mangsa. – BERNAMA