KUALA LUMPUR: Selama 17 tahun, pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini (RR) membina nama dan legasinya sehingga dikenali bukan sahaja di dalam negara malah peringkat antarabangsa.
Menginsafi perjalanan turun naik dalam dunia perniagaan serta memahami kos sara hidup rakyat, RR kini semakin aktif menabur bakti kepada masyarakat.
Rizman Nordin memberitahu, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari RR sebenarnya telah lama dilaksanakan namun kali ini lebih manis kerana kolaborasi bersama Hotel Shangri-La.
“Seramai 400 orang termasuk rakan selebriti yang lama dan baru berkolaborasi, rakan media, model-model, pemain-pemain industri, rakan kolaborasi, anak-anak asnaf, keluarga sahabat handai hari ini berkumpul di sini.
“Kerjasama dengan rakan artis sudah lama terjalin di mana RR membangun bersama mereka, majlis ini juga sebagai tanda penghargaan.
“Pertalian dengan Shangri-La amat baik di mana mereka sudi beri peluang jenama RR menyewa di hotel ini,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa RR di Hotel Shangri-La pada Jumaat.
Ziana Zain, Ning Baizura, Liza Hanim, Erni Zakri, Amelia Henderson, Emma Maembong, antara artis jemputan pada Majlis Berbuka Puasa Rizman Ruzaini dengan kerjasama Hotel Shangri La di sini.
Seramai 400 jemputan yang hadir termasuk anak yatim, asnaf, model, artis, pengamal media dan semua rakan strategik yang berkolaborasi dengan jenama RR.
Ketika ditanya pandangan Rizman mengenai artis yang membina jenama sendiri selepas kolaborasi dengan RR, jelasnya beliau sentiasa berkongsi perkembangan yang positif.
“Saya gembira jika ada rakan artis mengembangkan produk mereka sendiri, rezeki masing-masing berbeza tetapi kita sama-sama dalam dunia ini saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.