KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengambil inisiatif menempatkan mesin kompos sisa makanan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, di sini sepanjang Ramadan dalam usaha melestarikan bandar ini.
Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, ia sekali gus bagi mengurangkan pembuangan sisa makanan terus ke tong sampah dan sehingga semalam sebanyak 70 kilogram (kg) sisa dapat dikumpul.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 300 kg hingga 400 kg sisa makanan dapat dikumpul dengan lebih 100 kg baja organik dijangka dapat dihasilkan untuk diserahkan kepada Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini.
Katanya, peniaga bazar dan orang ramai yang berbuka puasa di padang berkenaan disarankan agar membuang sisa makanan mereka di tong disediakan untuk diproses menjadi baja menggunakan mesin itu.
“Mesin tersebut dapat memproses 25 kg sisa makanan dalam satu-satu masa dan sisa itu akan dicampur dengan enzim dan habuk kayu untuk bantu proses penguraian sebelum baja dapat dihasilkan. Proses keseluruhan untuk dijadikan baja itu mengambil masa kira-kira 48 jam.
“Ini merupakan usaha kita juga untuk mengamalkan amalan kitar semula dengan mengkomposkan sisa-sisa makanan yang tidak habis ke dalam mesin kompos dan kita nak jadikan ini sebagai budaya masyarakat kini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Sharudin berkata hampir 90kg lebihan makanan yang masih elok daripada peniaga bazar Ramadan dapat diselamatkan setakat Selasa lepas, untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. – BERNAMA