KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail tahun lepas, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Nuramira Abdullah, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut bahawa dia adalah seorang Muslim telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudiannya bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan di atas pentas.
Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail di sini pada 6 petang, 4 Jun 2022, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.
Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara bagi pemeriksaan balas peguam terhadap saksi pendakwaan pertama, Muhammad Asyraf Kamal Musthaffa, namun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh.
“Pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan berikutan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi dikemukakan tertuduh pada 16 Mac lepas,” kata Abdul Malik.
Beliau juga memohon supaya hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh menggambarkan keseriusan kes, mengambil kira tindakan tertuduh mendapat perhatian umum.
“Tertuduh pada asalnya didakwa mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan ditawarkan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 298. Walaupun hukuman di bawah Seksyen 298 adalah lebih rendah, ia tidak bermaksud kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh tidak serius.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama, demi menjaga keharmonian negara tiada sesiapa wajar membuat perkara melukakan perasaan penganut agama dan mengganggu mana-mana agama. Tertuduh boleh membuat persembahan tanpa merujuk mana-mana agama kerana isu agama adalah tidak wajar dijadikan bahan lawak,” katanya.
Peguam R. Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira memohon hukuman denda ringan atas alasan anak guamya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Pengakuan bersalah tertuduh hari ini menjimatkan masa dan kos mahkamah. Selepas anak guam saya dituduh di mahkamah, dia tidak pernah melakukan persembahan komedi atau apa-apa perkara berkaitan dengan kesalahan sebelum ini selain tidak mempunyai akaun media sosial dan menyepikan diri serta tidak mengundang sebarang kontroversi lain.
“Kes ini menjadi topik perbualan hangat ketika ia tular di media sosial tahun lepas. Ini menyebabkan perubahan drastik dalam gaya hidup tertuduh dari segi keperibadian, kesihatan mental dan hubungan sosialnya.
“Pengalaman dia ditangkap polis, ditahan reman di lokap serta dipenjara lebih kurang 10 hari juga memandai sebagai pengajaran kepada tertuduh,” kata peguam itu dan memaklumkan anak guamnya telah insaf dan mohon maaf atas perbuatannya. – BERNAMA