PETALING JAYA: Sebuah syarikat pemungut hutang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan dua unit kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat RA IT System Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Mohd Amierul Asraf Mat Rodzi selaku Orang Kena Saman (OKS) serta memerintahkan OKS dipenjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi iaitu dua unit kotak Subscriber Identification Module (SIM) jenama Yu Chen DC Brushless yang tidak diperakui seperti dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Leisure Commerce Square di sini pada 3 petang, 24 November 2020 mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau enam tahun penjara atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Hizam Ahmad Zameri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan konsisten mengikut trend semasa terhadap OKS, namun peguam Ahmad Zayd Ahmad Zuber yang mewakili OKS memohon denda minimum kerana ia merupakan kesalahan kali pertama syarikat sejak 10 tahun beroperasi.
Di mahkamah sama, seorang pekerja swasta, Rasyidah Busu, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran tujuh keping gambar lucah menggunakan aplikasi WhatsApp dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 4.14 petang, 29 Mei tahun lalu.
Kesemua gambar lucah itu kemudian telah dilihat pada 4.21 petang pada tarikh sama di sebuah kediaman di Bandar Kinrara, Puchong di sini.
Pertuduhan terhadap Rasyidah selaku OKS dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 12 Mei depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA