KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengimport telur memfailkan saman terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin AliĀ berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.
J&E Advance Tech Sdn Bhd, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Chambers of Han & Zi di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 AprilĀ lepas dengan menamakan Mohamed Azmin sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa defendan telah membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaanĀ dalam āCeramah Perdana: Solidariti Menentang KezalimanāĀ di sebuah dewan di Taman Melewar di sini pada 11 Mac lepas.
Dakwa plaintif, ucapan itu turut diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik di dalam dan luar negara termasuk YouTube.
Menurut J&E Advance, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan memfitnah tersebut, namun ucapan berkenaan jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lepas.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan bahawa syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk membekal pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya semasa musim perayaan bagiĀ membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.
Menurut syarikat itu, kenyataan tersebut tidak benar dan melampau Ā yang mana syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus denganĀ Kerajaan Malaysia.
Plaintif mendakwaĀ tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasi plaintif selain untuk mencapai publisiti murahan serta kepentingan politik.
Sehubungan itu, plaintif memohon injunksi menghalang defendan, ejen atau pekerja, mengucap atau menerbitkan ucapan fitnah tersebut serta memohon ganti rugi am, pampasan, teruk, teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, peguam Elyse Ng Zi Qian yang mewakili plaintif dalam kenyataan hari ini berkata, saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Mei ini di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin. – BERNAMA