KUALA LUMPUR: Senario sama berulang lagi apabila tambang tiket penerbangan melambung berlipat kali ganda setiap kali menjelangnya sambutan Aidilfitri.
Syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan dari ibu negara ke Kota Kinabalu dan Kuching, semasa bukan musim perayaan hanya mengenakan tambang antara RM200 dan RM300 bagi penerbangan pergi balik.
Bagaimanapun, tinjauan Bernama di laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini menyaksikan harga tiket ke Sabah dan Sarawak antara minimum RM468 dan maksimum RM4,124 (pergi balik), terutama pada tempoh menjelang dan selepas Aidilfitri (18 hingga 26 April), iaitu peningkatan sekurang-kurangnya 156 peratus hingga 1,374 peratus.
Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Jennisey Sarafinx, 23, berkata, beliau telah membeli tiket penerbangan seawal Februari lepas untuk mendapatkan tambang yang berpatutan, selain sebagai langkah berjaga-jaga bimbang kehabisan tiket.
“Saya beli tiket Malaysia Airlines dan terpaksa bayar hampir RM1,000 bagi penerbangan pergi balik antara Alor Setar dan Kuching,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini, sambil berharap kerajaan membantu mengawal tambang penerbangan terutama bagi pelajar.
Bagi peniaga dalam talian, Rohayu Nasir, 36, pula berkata, beliau membayar kira-kira RM3,200 bagi penerbangan pergi balik (RM800 seorang) antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu untuk pulang beraya.
“Jumlah yang saya perlu bayar hampir dua kali ganda berbanding ketika hari biasa, tetapi memang sudah dijangka kerana saya baru beli tiket ini bulan lepas. Bagi saya dan keluarga, peningkatan tambang tiket penerbangan menjelang musim perayaan tidak menjadi masalah asalkan kami dapat menyambut hari raya bersama saudara-mara di Sabah,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di KL Sentral hari ini mendapati mereka yang ingin balik kampung sempena Aidilfitri dengan menggunakan pengangkutan awam telah membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kesulitan di saat-saat akhir.
Seorang pekerja swasta, Qasmeena Abdul Rauf, 31 berkata beliau dan suaminya akan menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Bagan Dalam, Pulau Pinang pada hari raya ini dan telah menempah tiket pada 24 Mac lepas.
Katanya pengangkutan awam jadi pilihan mereka selepas serik menempuh pengalaman tersekat dalam kesesakan jalan selama 10 jam dari ibu negara ke Pulau Pinang sebelum ini.
“Mulanya saya bimbang juga kerana agak lewat mencari tiket ETS berbanding orang lain, tetapi kami bernasib baik tawaran masih ada pada ketika itu. Saya sarankan kepada orang ramai agar merancang perjalanan mereka sebaik mungkin,” katanya.
Pada 23 Mac lepas, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan syarikat itu akan menyediakan empat koc tambahan pada Aidilfitri dan Hari Pekeja (1 Mei) tahun ini.
Sementara itu, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohd Qushairy Abdullah, 23, berkata menjadi amalannya menaiki bas setiap kali balik beraya di Melaka, malah suasana raya seperti tidak lengkap jika tanpa pengalaman itu.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan kebimbangan terhadap kumpulan individu tertentu yang mengambil kesempatan menjual semula tiket pengangkutan awam pada harga tinggi terutama ketika waktu puncak menjelang Syawal bagi mengaut keuntungan.
“Ada orang yang sengaja menjual semula tiket mereka pada saat-saat akhir pada harga yang tidak munasabah kerana mereka tahu akan ada yang mahu membeli tiket itu. Saya harap situasi sebegini tidak berulang kerana kasihan kepada individu terlibat,” katanya.
Sementara itu, semakan di platform media sosial menyaksikan pengguna menggunakan Twitter bagi meluahkan rungutan mengenai peningkatan harga tiket penerbangan pada musim perayaan.
Pengguna Twitter @irwansumadi berkata, beliau berasa seperti dianiaya oleh syarikat penerbangan dan berpendapat tambang penerbangan semasa musim perayaan tidak masuk akal dan melampau.
“Saya merupakan antara Anak Sabah yang merasakan diri dianiaya oleh syarikat penerbangan setiap kali ingin balik ke kampung halaman pada musim perayaan. Harga tiket waktu perayaan amatlah mengarut dan melampau. KL ke SDK (Sandakan) misalnya, seperti ke Kutub Utara,” ciapnya.
Seorang lagi pengguna Twitter @caramelkaffe dalam ciapannya berkata tidak ada pemberian duit raya (angpau) tahun ini kerana beliau telah membelanjakan lebih RM800 untuk tiket penerbangan.
“Saya baru saja periksa tiket penerbangan untuk balik daripada raya. Untuk tiket sahaja saya habiskan lebih RM800. Jadi tidak ada duit raya untuk kanak-kanak,” katanya. – BERNAMA