CYBERJAYA: Kebiasaannya jika mencari kedai atau gerai yang menjual makanan sedap, pasti ramai yang berfikir bahawa kedai yang enak adalah kedai yang dikunjungi ramai orang.
Mungkin bagi sebilangan pihak, pandangan sedemikian disifatkan ‘tidak masuk akal’ namun, perkara itu ternyata benar bagi sebuah gerai yang menjual popia basah di Johor.
Mana tidaknya, Popia S.S. Ali yang membuka jualan popia basah di Bazar Ramadan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, laris dijual dalam masa tiga jam sahaja.
Perkara itu dilihat menerusi perkongsian video Johor Foodie yang memaparkan gerai Popia S.S. Ali sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat popia khususnya yang tinggal di Johor mengakui ‘jatuh cinta’ dengan popia basah S.S. Ali.
Malah, ada juga yang memuat naik foto memaparkan mereka sanggup beratur lama demi mendapatkan hidangan tersebut.
Dalam pada itu, ada juga warga net yang berkongsi menyatakan bahawa Popia SS Ali ini merupakan tradisi turun-temurun yang masih mengekalkan rasa sama.