KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang mencabar rakan sepasukan terutama penerjun muda untuk meningkatkan prestasi mereka sekali gus meneruskan legasinya di temasya Sukan SEA terutama dalam acara 3 meter (m) papan anjal.
Pemenang pingat emas acara 3m papan anjal di Sukan Komanwel Glasgow itu mengingatkan agar rakan sepasukan bekerja lebih keras bagi mengekalkan dominasi Malaysia di kolam renang dalam temasya dwitahunan itu.
“Saya rasa mereka perlu bekerja keras, lagi-lagi jika mahu menggantikan tempat saya. Mereka harus menang dulu,” katanya kepada pemberita selepas meraih pingat emas 3m papan anjal lelaki di Kejohanan Jemputan Kumpulan Umur Malaysia (MIAG) ke-54 di sini hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Asia sebanyak dua kali itu berkata beliau sentiasa memberikan usaha lebih 100 peratus setiap kali menyertai kejohanan sebelum ini.
Ia kerana beliau terhutang budi dan merasakan perlu untuk membalas kepercayaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah memberikan kontrak dan elaun kepadanya selama ini.
Susulan tidak menyertai temasya Sukan SEA 2023, atlet berusia 26 tahun itu berharap wakil negara Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan pingat emas dan perak yang dimenangi mereka dalam acara 3m papan anjal lelaki pada temasya dwitahunan itu bulan depan.
Sementara, atlet kelahiran Pulau Pinang itu pula akan memberikan tumpuan penuh kepada Piala Dunia Terjun 2023 di Montreal, Kanada pada 5 hingga 7 Mei.
Pada Januari lepas, penolong jurulatih Datuk Leong Mun Yee mengumumkan skuad terjun elit tidak akan menyertai Sukan SEA di Kemboja, bagi memberi laluan kepada penerjun muda mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Tze Liang melakar kejayaan selepas mengumpul 452.35 mata untuk muncul juara, diikuti seorang lagi penerjun negara Chew Yi Wei meraih perak dengan 407.10 mata manakala Muhammad Syafiq di tempat ketiga dengan 402.70 mata.
Biarpun tidak dapat mengatasi Tze Liang, Yi Wei berjaya membawa pulang pingat emas acara 3m papan anjal seirama lelaki, bergandingan dengan Gabriel selepas mengumpul 341.49 mata.
Gandingan Singapura Ayden Ng-Kenji Tan pula meraih pingat perak dengan 258.45 mata manakala wakil Sarawak Awang Sharzan Nasrin-Soh Tze Kang mengutip 251.22 mata untuk gangsa.
Kejohanan berlangsung selama tiga hari itu akan berakhir esok. – BERNAMA