CYBERJAYA: Melihat sebuah kafe yang kelihatan ‘aesthetic’ sememangnya satu hal yang menyeronokkan hati.
Namun, keterujaan itu bukanlah suatu perasaan yang kekal lama buat pemilik kafe dek kerana banyak halangan dan cabaran yang perlu ditanggung mereka dalam mengekalkan perniagaan yang dibuka.
Baru-baru ini, seorang pemilik kafe berkonsepkan ‘outdoor cafe’ membuat pendedahan berhubung cabaran yang dialaminya dalam meneruskan perniagaan.
Menurut Raja Mursyid yang merupakan pemilik kafe Triplets Cakery yang beroperasi di Gombak, antara cabaran utama perlu dihadapinya adalah serangan serangga seperti nyamuk susah untuk dikawal walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengatasinya sehingga pernah dapat ulasan negatif kerana nyamuk.
“Nyamuk ini memang susah gila nak settle. Tiap petang, aku dah bakar karah telur, pasang ubat nyamuk tapi tetap ada malam tu, and benda ni ganggu jugak customer.
“Aku pernah dapat kurang star review sebab nyamuk.
“Ada siap dah bunuh nyamuk tu, letak tepi pinggan, konon nak tunjuk dekat aku betapa banyak nyamuk,” katanya.
Malah, sebelum buka kafe, Mursyid perlu memastikan persekitaran kedainya bersih dari segala sampah akibat haiwan perosak seperti cencurut dan najis kucing.
“Tikus (cencurut) bawah tanah ni pun salah satu isu. Kau takkan dapat buat pest control untuk tanah sebesar tempat aku ini.
“Jadi apa yang kami buat. Takkan ada sampah sampah yang tidak dikemas bila closing.
“Kucing pulak makin hari makin banyak. Kadang siap pancut and berak sana sini,” jelasnya.
Tambah Mursyid, tanggapan orang ramai mengenai kafe ‘outdoor’ tidak perlu meletakkan harga mahal kepada pelanggan kerana tidak perlu membayar sewa tapak.
“Kau tak dapat nak letak harga standard kafe biasa. Kena letak murah sikit atas alasan, aku outdoor tak pakai aircond, tak ada setup proper kafe.
“And persepi inilah buatkan bagi mereka kau tak perlu jual mahal,” ujarnya.
Mursyid menjelaskan cuaca juga menjadi salah satu faktor penghalang kepada kafe ‘outdoor’.
Sehingga pelanggan memilih untuk membatalkan pesanan mereka apabila hujan lebat turun mendadak.
Selain itu, syarikat pengeluar juga sukar meletakkan kepercayaan kepada pemilik yang membuka kafe ‘outdoor’ dan mengajukan pelbagai soalan seperti jumlah jualan serta purata pelanggan yang datang.
Malah, Mursyid turut akui bahawa dia terpaksa mengambil masa sehingga satu tahun untuk mendapat kepercayaan dari syarikat pengeluar.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)