KUALA LUMPUR: Akta Kanak-Kanak 2001 perlu ditambah baik agar lebih inklusif bagi melindungi kanak-kanak daripada pengabaian, penganiayaan, penderaan serta eksploitasi, kata kumpulan peguam pemerhati kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.
Menurut kenyataan media oleh kumpulan peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kes pengabaian dan penderaan adalah manifestasi kelompangan perundangan yang perlu segera dilitupi dengan penambahbaikan kepada akta tersebut.
“Adalah penting untuk memastikan operasi pusat yang berkaitan dengan asuhan, jagaan atau perlindungan kanak-kanak hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar terlatih dan bukan menjadikan pusat tersebut sebagai medium untuk mengaut derma atau sumbangan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Peguam pemerhati itu terdiri daripada Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman.
Kenyataan itu berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak perlu mengaktifkan segera dasar dan pelan tindakan kanak-kanak komprehensif.
“Pengaktifan dasar dan pelan yang telah sedia wujud itu bagi memastikan kes mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, Bella tidak berlaku lagi.
“Pelan dan dasar ini perlu dilaksanakan dengan pematuhan tegas dan tidak boleh hanya berbunyi secara bermusim setiap kali berlakunya kes penderaan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sejak mengikuti kes tersebut, mereka telah melihat sendiri kecederaan akibat penderaan yang dialami Bella dan berpandangan ia terlalu sakit untuk ditanggung oleh seorang kanak-kanak hingga kesan kekalnya akan menyebabkan trauma dari segi mental, emosi dan fizikal.
“Dengan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen hari ini, tertuduh (Siti Bainun) masih mempunyai ruang untuk merayu ke Mahkamah Tinggi, jika beliau mahu berbuat demikian dan pihak pendakwaan mempunyai hak untuk merayu jika hukuman yang diputuskan tidak mencukupi.
“Pihak kami sebagai peguam pemerhati lantikan Tunku Mahkota Johor merakamkan penghargaan kepada aktivis ‘JusticeforBella’ yang membuka mata masyarakat akan episod penderaan yang telah berlaku dan menjunjung kasih di atas keprihatinan Tunku Mahkota Johor dan isteri,” katanya.
Siti Bainun, 31, dijatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara untuk pertuduhan menganiaya, namun Siti Bainun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas hukuman itu diperintah berjalan secara serentak, bermula hari ini. – BERNAMA