HomeBeritaAl Bayan Global anjur 'Raya Dalam Budaya' satukan mualaf

Al Bayan Global anjur ‘Raya Dalam Budaya’ satukan mualaf

SEREMBAN: Biasa kita dengar golongan mualaf agak terpinggir tanpa bimbingan yang konsisten sehingga mereka kembali ke agama asal.

Atas semangat untuk menyatukan dan mendekati golongan ini, buat pertama kalinya, Pertubuhan Akademi Al Bayan, Al Bayan Global Sdn Bhd dan HD Group Sdn Bhd menganjurkan rumah terbuka istimewa ‘Raya Dalam Budaya’ meraikan komuniti mualaf berbilang kaum, diserikan dengan busana unik daripada etnik dan tradisi budaya masing-masing.

Menyedari pentingnya mempromosikan Islam sebagai agama sejagat, kerjasama ketiga-tiga pertubuhan itu mendahului trend raya baharu tahun ini dengan memperlihatkan tetamu memperagakan persalinan unik mereka.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, kelainan yang ditampilkan pada penganjuran itu berikutan melihat kelebihan dan kehebatan Malaysia sebagai negara majmuk dengan budaya masing-masing tetapi di bawah satu bumbung Islam.

“Sebelum ini, ramai termasuk mualaf beraya pakai baju Melayu dan kurung, tetapi kali ini, saya kata tidak.

“Kita pamerkan budaya masing-masing dalam raya bertemakan Raya Dalam Budaya, kepelbagaian budaya sambut raya Islam sebab sebenarnya setiap orang membawa budaya masing-masing.

“Raya bukan untuk sesuatu kaum sahaja, jadi kita gunakan kekuatan ini (pamer budaya bawah satu bumbung) di peringkat antarabangsa, di bawah satu bumbung Islam,” katanya.

Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (kiri)

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Aidilfitri Pertubuhan Akademi Al Bayan 2023, dihadiri kira-kira 250 mualaf bangsa India, Cina, Dusun-Kadazan, Dayak dan warga antarabangsa, di Dewan Masjid Bandar Baru Enstek, di sini.

Pada majlis sama, turut dilancarkan
program bersiri Selera Rasa Mualaf yang bakal bersiaran di saluran TV Alhijrah bermula pada 14 Mei ini, jam 8 pagi, setiap Ahad.

Nur Mohammad Hadi juga berkata, idea itu juga tercetus berikutan ibunya juga seorang mualaf berbangsa Sikh-Punjabi dan sebagai anak mualaf, beliau mahu mencipta kelainan ketika musim raya, dengan memberi kesedaran bahawa mualaf tidak perlu mengubah status bangsa sebaik memeluk Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar menolak asal-usul keturunan.

Ini kerana katanya, isu yang timbul sebelum ini adalah mereka yang belum tapi mahu memeluk Islam bimbang nama dan budaya ditolak dan ditinggalkan begitu sahaja, sedangkan ia tidak benar.

“Justeru, tahun depan kita akan cuba membawa program ini ke peringkat berskala besar, kerana sudah pun berbincang dgn beberapa jabatan mufti dan kerajaan, maka mereka (mualaf) boleh berpakaian budaya masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengulas program Selera Rasa Mualaf, yang akan menyajikan 18 variasi resipi daripada berlainan budaya.

“Yang menariknya ia bukan hanya sekadar masakan tetapi didalamnya ada perkongsian
mualaf bagaimana mereka menerima hidayah Allah dan iltizam mereka dengan Islam,” katanya.

Author

Pilihan Editor