LOS ANGELES, 31 Mei (Bernama-Xinhua) — Kapal angkasa Dragon SpaceX yang membawa empat angkasawan persendirian Axiom Space selamat pulang ke Bumi sekali gus menamatkan misi angkasawan persendirian kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor Xinhua.
Kapal angkasa Dragon berlepas dari ISS pada 11.05 pagi Waktu Timur (1605 GMT) pada Selasa. Selepas kira-kira 12 jam perjalanan, kapal angkasa itu memasuki semula atmosfera Bumi dan jatuh di luar pantai Florida pada 11.04 malam Waktu Timur (0404 GMT Rabu).
Kapal angkasa itu yang berlepas dari stesen angkasa lepas Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida pada 21 Mei, membawa angkasawan Peggy Whitson, John Shoffner, Ali Alqarni dan Rayyanah Barnawi.
Mereka berada di ISIS selama lapan hari dan mengorbit Bumi 126 kali, mengembara sejauh 3,331,440 batu (5,330,304 km).
Sepanjang misi, anak kapal menjalankan lebih 20 eksperimen penyelidikan bagi memahami kesan mikrograviti pada tubuh manusia serta mengenal pasti kaedah dan teknologi baharu yang boleh digunakan dalam misi penerbangan angkasa lepas pada masa akan datang serta meningkatkan kehidupan di Bumi, menurut Axiom Space.
Misi dengan kod Ax-2 itu adalah misi angkasawan persendirian kedua Axiom Space ke ISS selepas misi pertama pada 2022. – BERNAMA-XINHUA