HomeBeritaViralBabak Uwais peluk batu nisan arwah Siti Sarah undang sebak netizen

Babak Uwais peluk batu nisan arwah Siti Sarah undang sebak netizen

 

CYBERJAYA: Sempena sambutan Hari Ibu semalam, anak sulung kepada pasangan Shuib dan Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin, Uwais, nyata membuatkan orang ramai menitiskan air mata.

Perkara itu berlaku menerusi lakonan babak sedih Uwais dalam sebuah video pendek berjudul ‘Rindu’ yang dihasilkan khas sempena sambutan Hari Ibu tahun ini.

Video berkenaan yang dimuat naik menerusi Instagram Shuib atau Shamira Muhamad, 38, menceritakan kerinduan Uwais terhadap arwah ibunya.

“Selamat Hari Ibu buat kesayangan @sitisarahraisuddin tahniah @suciuwais dan Tuan Pengarah @raisuddin_hamzah.

“Siti akan sentiasa hidup dalam setiap diri keluarga kita sampai lah dihujung nafas yang terakhir. Bagusnya lahai anak daddy Uwais berlakon, sebiji macam ibu, sayang Uwais.

“Al-Fatihah buat kesayangan dunia dan akhirat Siti Sarah Raisuddin semoga Syurga lah tempat mu,” tulisnya.

Dalam video tersebut, Uwais mengaju soalan kepada datuknya, Raisuddin Hamzah kerana dia berasa pelik melihat datuknya memberikan bunga kepada wanita bergelar, Odey. 

Justeru, datuknya memberitahu bahawa bunga tersebut diberi bersempena sambutan Hari Ibu.

Riak wajah Uwais terus berubah sambil menatap foto arwah ibunya yang tergantung dalam bangunan terbabit.

Untuk mengubat kerinduannya terhadap arwah, Uwais meminta kebenaran datuknya untuk singgah sebentar di pusara arwah.

Uwais dilihat termenung lama sambil menatap batu nisan dengan pandangan suram lalu memeluk dan mencium batu nisan untuk menghilangkan kerinduan yang mendalam terhadap arwah ibunya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak selepas melihat video pendek tersebut.

“Kerana setiap anak sulung itu kuat kenangannya bersama ibu,” kongsi seorang netizen.

“Walaupun berlakon. Tapi nampak Uwais rindu ibu, permata hati ibu. Kesayangan ibu dunia akhirat ini,” luah pengguna di ruangan komen.

“Start Uwais pandang gambar arwah ibu dia saya dah sebak. Sekali keluar video arwah peluk cium Uwais masa main golf okay tak rilek. Al-Fatihah buat Siti sarah,” tulis warga net.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor