GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk menyiasat sama ada terdapat penglibatan kongsi gelap dalam kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth dan sebuah institusi menengah bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Balik Pulau dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan tiga kes tersebut sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Mengenai kes buli di sebuah sekolah menengah dan institusi menengah bawah MARA, tangkapan sudah dibuat dan telah diberi jaminan polis seperti yang saya maklumkan sebelum ini, bagaimanapun kami juga menjalankan siasatan sama ada kes itu menjurus kepada kegiatan kongsi gelap sama ada (kongsi gelap) berada di belakang mereka (pelaku) atau pun sebaliknya.
“Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi-kongsi gelap yang terlibat dalam kes buli di sekolah-sekolah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tiga kes buli di sebuah sekolah menengah dan institusi pendidikan menengah di bawah MARA yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan penahanan 14 pelajar.
Susulan daripada penahanan mereka, polis merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan dua kes yang videonya berdurasi 24 dan 34 saat tular menerusi media sosial sejak Jumaat lepas.
Media sebelum ini melaporkan kesemua remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihak polis selesai mengambil keterangan.
Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencederakan orang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – BERNAMA