HomeBeritaViralDiancam ‘Pak Belang’, redah jalan berliku - Guru kongsi pahit getir bertugas...

Diancam ‘Pak Belang’, redah jalan berliku – Guru kongsi pahit getir bertugas di sekolah pendalaman 

 

CYBERJAYA: Sempena sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Balar (SKB), Gua Musang, Kelantan berkongsi pengalaman yang jarang diketahui umum berhubung cabaran para guru ketika berkhidmat di sekolah kawasan pendalaman.

Ben Zaid atau Mohd Halim Mohamad Zaid, menceritakan kisah di sebalik keseronokan serta kedamaian yang dilihat orang ramai, dia selaku guru sebenarnya harus meredah jalan berbukit-bukau, berlumpur semata-mata untuk mencurahkan ilmu kepada anak murid.

Menurut Ben, adakala kehadiran binatang buas seperti harimau, gajah dan ular cukup meresahkan para guru yang rata-ratanya hanya menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama merempuh perjalanan berpuluh kilometer (KM) di tengah hutan untuk menuju ke sekolah.

“Kami tebalkan hati yang kering ini terus menuju ke destinasi tanpa menoleh ke belakang. 

“Siapa sangka sedang kita memandu motosikal ada mata-mata yang memerhati. Pernah sekali terserempak dengan sekumpulan gajah lalu kami berpatah balik.

“Kerap kali melalui kawasan yang hancur kiri kanan jalan di lenyek oleh tubuh besar. Berkali-kali juga laluan kami direntangi ular hitam berkepala merah di tengah jalan. 

“Ada juga bekas tapak kaki pelik di kawasan berair dan alur sungai. Najis bergelimpangan dan bertaburan di kawasan laluan kerana itu adalah laluan mereka juga,” tulisnya di Facebook miliknya.

Tambahnya, kisah ngeri yang menjadi igauan buat para guru dan staf apabila bertentang mata dengan seekor harimau dengan dipisahkan oleh pagar sahaja.

“Dua tahun lepas, beberapa ekor harimau berkeliaran di kawasan kampung dan sekolah sehingga ada penduduk yang membina bangsal di atas pokok.

“Seluruh penduduk di ancam ketakutan. Namun, itulah rimba, tempat mereka bermastautin. Ada berbelas ekor lagi si belang namun semuanya sukar dikesan kerana di sini adalah wilayah mereka, kita hanya menumpang lalu.

“Namun, di tarikh keramat ini. Tanggal 16 Mei setiap tahun maka teringatlah saat berdiri tegak dan berlagu ‘Tunai janji tetap kami tunaikan’ kami kikis segala apa yang menghalang di hadapan dan kami rempuh bersama demi hanya untuk satu tujuan,” ujarnya.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor