KUALA LUMPUR: Foodpanda Malaysia melancarkan empat inisiatif di bawah program payung RAHMAH terdiri daripada Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH, Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH, hari ini.
Pelaksanaan itu membabitkan 238 cawangan restoran serta 16 jenama seperti OldTown White Coffee, Texas Chicken, Lim Fried Chicken, Daporlah dan banyak lagi bagi meluaskan lagi capaian menu RAHMAH di semua lokasi seluruh Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelaksanaan inisiatif itu menjadikan Foodpanda Malaysia sebagai platform perintis yang menawarkan penghantaran Menu RAHMAH di Malaysia.
“Dalam menyokong inisiatif Kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, Foodpanda Malaysia memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam Menu RAHMAH daripada aplikasi dan laman sesawangnya pada harga mampu milik iaitu RM5 atau kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran inisiatif payung RAHMAH bersama Foodpanda Malaysia di Ibu Pejabat Korporat Foodpanda Malaysia, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das memaklumkan, menerusi pakej Rahmah itu, pengguna boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam menerusi aplikasi Foodpanda pada harga serendah RM5.
Malah, Foodpanda akan turut menyumbang sebanyak 300 Bakul RAHMAH bernilai RM15,000 kepada golongan kurang berkemampuan melalui Yayasan RAHMAH Malaysia.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa pengguna juga boleh mendapatkan tawaran menarik menerusi Pandamart.
“Pakej RAHMAH oleh Pandamart ini menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50 dan RM30 setiap satu dengan penjimatan sehingga 25 peratus untuk para pembeli.
“Pada masa yang sama, inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH ini turut memberi manfaat kepada rangkaian rakan penghantaran yang meluas melalui peningkatan jumlah pesanan dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka,” ujarnya.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)