KUALA LUMPUR: Golongan peniaga dalam talian serta pempengaruh media sosial atau ‘influencer’ dicadangkan dikenakan cukai pendapatan.
Cadangan oleh Peguam Cukai, Ezmeer Zulkarnain berdasarkan pemerhatian kebanyakan dari ‘influencer’ dan ‘founder’ produk menunjukkan kemewahan di media sosial, namun tidak semua membayar cukai.
Katanya, usaha untuk memantau dan menjejaki individu ini perlu dipergiatkan oleh pentadbir cukai seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan mereka turut serta menyumbang pendapatan kepada negara.
Asas cukai perlu diperluas kepada perniagaan dalam talian dan media sosial. Jika dilihat ‘influencer’ dan ‘founder’ (pengasas) produk ini secara meluas menunjukkan kemewahan, namun bukan semua daripada membayar cukai.
“Walaupun ada unit di LHDN yang memantau, namun usaha ini perlu dipergiatkan dan mereka sendiri patut ada kesedaran untuk membayar cukai kerana telah dapat pelbagai kemudahan dan inisiatif daripada kerajaan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam program Pantau Kos Sara Hidup, Percuakain Kondusif; Antara Pembangunan Negara dan Kewangan Rakyat di Astro Awani, Ezmeer juga menjelaskan, golongan ini juga wajar berkongsi dan memulangkan semula hasil pendapatan mereka kepada negara.
Ezmer yang juga Prinsipal di Tetuan Ezmeer Zulkarnain turut berharap, pentadbir mempergiatkan lagi inisiatif pendidikan cukai.
Beliau turut menggambarkan tahap literasi percukaian yang masih di tahap sederhana dalam kalangan masyarakat, sekali gus mencetus kepada ketidakpatuhan cukai oleh mereka.
“Tahap literasi cukai masih sederhana dan akhirnya ini diterjemah kepada sebuah ketidakpatuhan.
“Mungkin pentadbir cukai boleh lakukan beberapa inisiatif untuk meningkatkan tahap pemahaman masyarakat kepada cukai dengan melakukan program dalam kumpulan yang lebih kecil supaya tahap penyampaiannya lebih efektif,” jelas beliau lagi.
Dalam masa sama, Ezmeer berharap pentadbir cukai seperti LHDN boleh mewujudkan satu aplikasi khusus untuk pembayar cukai memuat naik dokumen percukaian termasuk resit belian serta derma.
Ini, katanya, bagi memudahkan urusan dan proses untuk deklarasi cukai yang dilakukan sekali setahun bagi mengelak kehilangan dokumen berkenaan.