IPOH: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang akan diadakan di sini hujung minggu ini boleh menjadi platform bagi membincangkan sejauh mana industri media konvensional masih lagi relevan di sebalik ledakan media sosial yang membolehkan maklumat diakses daripada pelbagai saluran.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin berkata, masyarakat pada masa kini lebih gemar mempercayai maklumat terutamanya berita-berita palsu yang diperoleh daripada media sosial, berbanding mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu forum membabitkan kira-kira 150 pengamal media tempatan serta negara ASEAN yang mempunyai latar belakang berbeza akan berbincang bagaimana hendak menempuh cabaran masa akan datang.
“Adakah kita (media konvensional) masih relevan untuk terus memberi sumbangan kerana cabaran begitu besar mengenai wujudnya media sosial yang dianggap sebagai media tak rasmi.
“Kita juga mahu tahu macam mana hendak menangani ‘fake news’ yang banyak berlegar dalam media sosial, kita hendak salahkan orang awam atas kepercayaan berita palsu pun sukar, jadi kita cuba didik supaya mereka mendapatkan berita yang sahih antaranya menerusi Bernama sebelum berkongsi,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ di saluran Bernama TV hari ini.
Sambutan HAWANA 2023 bakal diadakan di Meru, Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.
Selain forum media, HAWANA 2023 akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti karnival mini, pertandingan mencari harta karun dan pertandingan boling manakala kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini.
Menjelas lanjut, Roslan berkata, HAWANA 2023 juga akan berbincang mengenai cabaran media konvensional pada masa kini selepas berhadapan dengan pandemik COVID-19 dengan kebanyakan institusi media menghadapi tekanan, malah ada yang bertungkus lumus untuk memastikan mereka terus wujud.
Sementara itu, Roslan berharap lebih banyak organisasi media di negara ini bersedia menjadi penganjur HAWANA pada masa akan datang, dengan Bernama sudah tiga kali menjadi agensi pelaksana sambutan.
“Kita berharap pada masa akan datang, ada organisasi media yang lebih kukuh untuk membuat penganjuran HAWANA kerana ia melibatkan satu perancangan, usaha yang besar dan mungkin akan gabungan antara agensi media tetapi ia tidaklah berlaku dalam masa setahun dua ini,” katanya.
Roslan berkata, Bernama selaku agensi pelaksana HAWANA 2023 merakamkan penghargaan kepada kerajaan Perak yang sudi menjadi tuan rumah bagi penganjuran edisi ketiga tahun ini selain Kementerian Komunikasi dan Digital yang membantu menjayakan sambutan. – BERNAMA