MILAN: Inter Milan membenam cabaran seteru setempat AC Milan buat pertama kali dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara untuk mara ke final menerusi kemenangan 1-0 pada Selasa dengan keputusan agregat 3-0, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Gol tunggal Lautaro Martinez pada minit ke-74 sudah cukup untuk menamatkan impian AC Milan selepas Inter Milan memperoleh gol awal pada aksi pertama separuh akhir minggu lalu menerusi jaringan Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan.
AC Milan yang diperkuatkan semula dengan kehadiran pemain sayap Portugal, Rafael Leao yang pulih daripada kecederaan bagaimanapun gagal memberi ancaman kepada pasukan lawan dengan peluang terbaiknya pada separuh masa pertama gagal menemui sasaran.
Inter Milan yang juga pemenang tiga kali mara ke final kejohanan terhebat Eropah itu buat kali keenam selepas penampilan terakhir pada 2010 selepas pasukan itu menundukkan Bayern Munich sekali gus menamatkan musim itu dengan gelaran trebel.
Sementara itu, pada final 10 Jun ini di Istanbul, Inter Milan akan berdepan saingan sama ada Real Madrid atau Manchester City yang terikat dengan jaringan 1-1 dengan pemenang ditentukan pada aksi timbal balik pada Rabu di England. – BERNAMA-dpa