PHNOM PENH: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melangkah ke suku akhir Sukan SEA Kemboja 2023 selepas mengatasi wakil Singapura, Joel Koh Jia Wei, pada pusingan kedua, di sini, hari ini.
Selaku pilihan ketiga, Jun Hao terpaksa berhempas pulas pada set pertama untuk melakarkan kemenangan 23-21 sebelum mudah mencipta kemenangan 21-14 pada xset kedua dalam saingan selama 38 minit.
Jun Hao mengakui bahawa keghairahannya untuk memenangi set pertama selepas menikmati kelebihan enam mata pada 20-14 hampir mengundang padah apabila Joel berjaya membuat kebangkitan untuk menyamakan kedudukan pada 20-20 sebelum bertenang untuk memenangi set pertama dengan hanya margin dua mata.
“Ketika di penghujung set pertama, fikiran saya hanya mahu habiskan perlawanan dengan cepat. Walaupun saingan agak sukar, namun saya berjaya mengatasi dan harap ini permulaan baik di sini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut di Dewan Badminton Morodok Techo, di sini.
Sementara itu, Jun Hao, pemain nombor ke-64 dunia, berkata beliau tidak memandang remeh kemampuan lawanannya, Joel Angelo Albo dari Filipina di suku akhir.
Joel Angelo mara ke suku akhir selepas menundukkan pemain Myanmar, Zaw Lin Htoo, 21-13, 21-15.
Walaupun hanya lima hari digandingkan sebelum tiba di sini, beregu campuran negara, Yap Roy King-Cheng Su Yin, tidak mengahadapi masalah untuk mengesahkan tiket ke suku akhir apabila menewaskan pasangan Singapura, Donovan Willard Wee-Xiao En Heng, 21-14, 21-17.
Roy King-Su Ying akan berdepan dengan pasangan Kemboja, Vannthoun Vath-Kimloung Lim di suku akhir selepas pasangan tuan rumah itu mudah mengalahkan wakil Filipina, Zidane Ovaldo-Zoraida Dela Torre, 21-6, 21-8, pada pusingan kedua.
Roy King berkata beliau gembira untuk mara ke suku akhir selepas merasakan lawan mereka dari Singapura itu tidak bersedia untuk menentang mereka dan berharap untuk ke separuh akhir.
Cheah pula berkata mereka masih dalam usaha mencari rentak dan berharap dapat beraksi sebaik mungkin dalam temasya dwitahunan itu.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Ong Xin Yee, ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua oleh pemain Indonesia, Ester Nurumi Tri Wardoyo, 21-15, 21-18. – BERNAMA