SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di negeri ini.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, ini berikutan bekalan gula daripada dua syarikat pengeluar utama mencapai 735 tan metrik sebulan iaitu melebihi anggaran diperlukan kira-kira 600 tan metrik untuk penggunaan 1.2 juta rakyat Negeri Sembilan.
“Setakat semalam, kedudukan bekalan gula di 11 pemborong utama di negeri ini yang dibekalkan syarikat pengeluar adalah mencukupi. Sejak Januari lepas, KPDN telah memeriksa lebih 30,000 premis dan kita tidak menerima sebarang aduan kekurangan bekalan, aktiviti seleweng dan menyorok bekalan gula.
“Justeru, pengguna tidak perlu panik dan melakukan pembelian panik atau kacau ganggu kepada bekalan gula dalam pasaran kerana KPDN sentiasa memantau dari semasa ke semasa terhadap barangan kawalan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan gula di gudang pemborong di sini hari ini.
Menurutnya, KPDN negeri juga mengadakan sesi libat urus dengan pemborong utama gula pada 17 Mei lepas untuk berbincang dan mencari penyelesaian bagi mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran sekali gus memastikan bekalannya di Negeri Sembilan sentiasa mencukupi.
Muhammad Zahir turut mengingatkan peniaga atau pemborong supaya tidak menyorokkan atau menaikkan harga gula sesuka hati dan tindakan tegas boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – BERNAMA