KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Siti Bainun, 31, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Berikut adalah kronologi kes berkenaan:
20 Ogos 2021 – Siti Bainun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan Bella.
25 Nov 2021 – Siti Bainun didakwa menganiaya Bella di mahkamah sama dan dia mengaku tidak bersalah.
28 Jan 2022 – Mahkamah membenarkan permohonan Siti Bainun untuk mendapatkan pasport bagi membolehkan dia menghadiri program sukarelawan di Filipina.
30 Mac 2022 – Hari pertama perbicaraan kes Siti Bainun dengan saksi pendakwaan pertama iaitu pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin memberi keterangan.
13 April 2022 – Hakim Izralizam dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes Siti Bainun melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, yang merupakan tempat tinggal mangsa.
20 April 2022 – Mahkamah membenarkan permohonan empat peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes itu.
21 April 2022 – Hakim Izralizam mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen di media sosial berhubung perbicaraan kes itu.
17 Jun 2022 – Bella hadir di mahkamah untuk sesi pengecaman oleh tiga saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.
22 Sept 2022 – Bella sebagai saksi pendakwaan ke-18 memberi keterangan secara tertutup di mahkamah.
23 Sept 2022 – Bella selesai memberi keterangan di mahkamah.
28 Okt 2022 – Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 22 saksi dan mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 18 Nov serta menetapkan 24 Nov untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
24 Nov 2022 – Siti Bainun diperintah membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
5 Dis 2022 – Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding bela diri Siti Bainun yang sepatutnya bermula 5 Dis kerana tertuduh dimasukkan ke wad.
7 Dis 2022 – Prosiding bela diri ditangguhkan kerana Siti Bainun diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari bermula 28 Nov kerana masalah kesihatan.
13 Jan 2023 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membela diri dan tertuduh perlu membela diri pada 16 Jan.
16 Jan 2023 – Prosiding bela diri Siti Bainun ditangguh selepas tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif menarik diri.
17 Jan 2023 – Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.
26 Jan 2023 – Siti Bainun diarah membela diri meskipun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.
9 Mac 2023 – Pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan termasuk Siti Bainun dan menetapkan 3 Mei untuk keputusan di akhir kes pembelaan. – BERNAMA