KEPALA BATAS: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas heroin seberat 2,261.40 gram (g) bernilai RM18,500 dalam serbuan di Butterworth, dekat sini 2 Mei lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supt Siti Nor Salawati Saad berkata, lelaki berumur 30 tahun itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihak polis sejak seminggu lepas.
“Siasatan mendapati lelaki yang ditahan itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin sejak bulan lepas dan suspek dipercayai bergerak sendirian dengan mendapatkan bekalan bahan terlarang tersebut daripada sindiket (pengedaran dadah).
“Lelaki itu kemudiannya membungkus semula dalam kuantiti kecil sebelum menjual kepada pembeli untuk pasaran tempatan. Semua lima bungkusan heroin seberat 2,261.4 g yang dirampas itu boleh digunakan oleh 11,307 penagih dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, ujian air kencing mendapati lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah dan suspek juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan lelaki itu untuk kegiatan pengedaran dadah dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA